Negeri

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia MA63 fokus isu pendidikan dan kesihatan

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia MA63 yang dijangka diadakan pada pertengahan April depan akan membincangkan perkara terkait hal ehwal pendidikan dan kesihatan.

Kedua-dua perkara terbabit menjadi permintaan Sarawak selepas lebih 50 peratus permintaan negeri itu yang disenaraikan dalam perundingan MA63 telah dapat diselesaikan dengan terbaharu Penyerahan Pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan mengenai perkara itu di peringkat pegawai kementerian berkaitan dengan wakil Sarawak telah dimuktamadkan dengan beberapa perkara telah dipersetujui untuk dibentangkan pada mesyuarat berkenaan.

“Di Sarawak sudah pun selepas perbincangan peringkat pegawai, sudah dikenal pasti apakah kuasa-kuasa yang boleh diserahkan kepada kerajaan negeri untuk menguruskan hal ehwal pendidikan dan juga hal ehwal kesihatan. Sabah masih di peringkat perundingan.

“Namun begitu Timbalan Ketua Menteri Sabah sudah berjumpa dengan saya, meminta apakah yang telah dipersetujui antara Sarawak dengan Persekutuan, berkemungkinan mereka hendak mengambil contoh apa yang dipersetujui oleh Sarawak untuk mereka muktamadkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Duit Raya kepada golongan asnaf di Kuching.

Menurut Fadillah, selain dua perkara berkenaan, kaedah pembiayaan dan pelaksanaan baharu dalam mempercepatkan perlaksanaan projek-projek Persekutuan seperti yang telah dipersetujui secara prinsip akan turut dibincangkan dan dimuktamadkan pada mesyuarat berkenaan.

Antaranya kaedah pembiayaan awal oleh kerajaan negeri terhadap projek berkaitan khususnya membabitkan pembinaan semula serta penambahbaikan sekolah-sekolah daif dan kuaters-kuaters kediaman kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Turut dibincangkan kaedah baharu yang dipersetujui secara prinsip dalam pelaksanaan pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang akan dilaksanakan menerusi pembiayaan Kerajaan Pusat dan Negeri.

Related Articles

Back to top button