Semasa

MOF dalam peringkat akhir perincian kadar cukai jalan kenderaan EV

Kementerian Pengangkutan (MOF) kini di peringkat akhir perincian bagi kadar cukai jalan atau lesen kenderaan motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) .

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara perincian itu ialah untuk menjadikannya menarik dan lebih murah berbanding kenderaan Internal Combustion Engine (ICE).

“Cabaran yang dihadapi dalam proses perincian sekarang ialah perbandingan kapasiti (CC) kereta ICE dengan EV. Sekarang (pengguna EV) tak payah bayar cukai tapi pembeli EV bimbang cukai yang akan dikenakan jauh lebih tinggi berbanding kereta ICE.

“Komitmen kerajaan sekarang ialah untuk merendahkan cukai berkenaan supaya pembeli EV dapat kadar cukai jalan EV yang berpatutan, jadi diharapkan perincian cukai jalan EV dapat diumumkan sebelum akhir April nanti supaya kadar cukai jalan (EV) yang dibayar masih berpatutan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau menjangkakan kadar cukai jalan bagi kenderaan jenis itu dapat diumumkan pada bulan hadapan.

Loke sebelumnya hadir menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Warisan Tan Chong Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) dan Guangzhou Automotive Group (GAC) Motor International Co Ltd (GAC Motor International) bagi memulakan kebolehlaksanaan dua projek pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

BACA LAGI: Rebat motor elektrik mampu jayakan sasaran karbon sifar

Terdahulu, dalam ucapannya, Loke berkata perkongsian teknologi dan pengetahuan antara China dan Malaysia menerusi kolaborasi berkenaan mampu memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan dan memupuk inovasi dalam industri automotif, mempertingkatkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan oleh pelabur global berkualiti tinggi.

“Sejajar dengan matlamat kita untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050, kita menggalakkan WTCA dan GAC Motor International untuk memperkenalkan lebih banyak produk ke Malaysia terutama EV, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pengangkutan lestari serta mengurangkan pelepasan karbon,” katanyadipetik.

Related Articles

Back to top button