Nasional

Pembenihan awan akan dilaksana di tempat kritikal, bergantung faktor kesesuaian – Nik Nazmi

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sudah mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) berhubung soal pembenihan awan bagi mengatasi empat empangan yang dilaporkan kritikal.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata di peringkat kementeriannya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang akan memberikan panduan berhubung pembenihan awan.

“Empat empangan yang dilaporkan kritikal itu akan diberi tumpuan dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga memantau secara dekat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, pembenihan awan akan dilakukan untuk tempat yang kritikal dan sekiranya wujud faktor yang sesuai seperti cuaca baik, angin dan awan yang betul.

Nik Nazmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Profesional Anak Kelantan 2024, di Kota Bharu, pada Sabtu.

Terdahulu media melaporkan, empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikal, setakat tiga hari lalu susulan cuaca panas.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi bagaimanapun berkata berdasarkan kenyataan METMalaysia, keadaan kemarau semakin reda.

Katanya, pihaknya juga sedang memantau keadaan cuaca terkini.

Related Articles

Back to top button