PM Anwar sampaikan sumbangan Infak Ramadan untuk 200 asnaf dan anak yatim
Perdana Menteri, Datuk Seri Ibrahim pada Sabtu menceriakan 200 asnaf dan anak yatim di Parlimen Masjid Tanah, Melaka menerusi sumbangan Infak Ramadan.
Sumbangan berupa wang tunai dan kit Aidilfitri itu disampaikan melalui Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin dan diharap dapat menceriakan mereka di samping mengurangkan beban kewangan dalam membuat persediaan menyambut hari lebaran.
“Mewakili Perdana Menteri juga, saya turut menziarahi dan memberi sumbangan kilat kepada empat keluarga dari pelbagai latar belakang iaitu ibu tunggal, sakit mental, warga emas yang uzur dan pesakit kanser darah.
“Sekiranya ada permohonan untuk bantuan, kita akan ikhtiar untuk bantuan susulan tetapi untuk hari ini, kita beri sumbangan kilat untuk membantu sempena Ramadan,” katanya dipetik laporan media.
BACA LAGI: PM Anwar beri sumbangan kepada pejuang awal reformasi
Tambahnya, sumbangan dan ziarah tersebut adalah satu daripada cara kerajaan menunjukkan keprihatinan dan mengambil berat nasib rakyat terutama golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya.
Azman sementara itu turut menyantuni 200 orang lagi berbuka puasa di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Pantai Kuala Sungai Baru.
Hadir sama Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum dan ADUN Kuala Linggi Rosli Abdullah.