Semasa

PM Anwar ucap takziah kepada keluarga dua pelajar maut nahas di New Zealand

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum kemalangan jalan raya membabitkan pelajar Malaysia di Tasik Tekapo, New Zealand pada Sabtu.

Melalui catatan di laman Facebooknya, Anwar mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar yang terkorban dalam kemalangan itu dan mendoakan agar tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dalam insiden itu dikurniakan kesembuhan secepat mungkin.

“Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Tinggi di New Zealand akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga,” kata beliau.

Terdahulu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar maut dalam insiden itu pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Pelajar yang meninggal dunia dikenali sebagai Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Mangsa yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut Universiti of Canterbury, manakala Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington memaklumkan pihaknya dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan lancar.

BACA LAGI: PM Anwar gesa pertahan tradisi akliah Universiti Al-Azhar

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya sedang mendapatkan maklum lengkap berhubung kemalangan itu.

Pihak kementerian jelasnya akan membantu perkara berkaitan dengan keperluan yang ada bagi memastikan supaya proses termasuk penghantaran (jenazah) dan sebagainya.

“Bagaimanapun kita serahkan kepada keluarga terlebih dahulu kerana perbincangan perlu diadakan dengan keluarga terbabit bagaimana pengurusan jenazah perlu dilakukan,” katanya.

Related Articles

Back to top button