Negeri

PM gesa kementerian pastikan kelancaran projek kesihatan, sekolah daif di Sarawak

Semua kementerian termasuk agensi berkaitan digesa memberikan perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan serta pelaksanaan projek di Sarawak secara berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu menerusi catatan di laman Facebook ia susulan Taklimat Pembangunan Sarawak dipengerusikannya pada lawatan singkat ke negeri itu semalam.

“Perbincangan selama hampir satu jam 30 minit menyentuh pelbagai isu, cabaran, perancangan dan keperluan bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan dan sekolah daif di Sarawak.

“Antaranya mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian,” katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Perdana Menteri sementara itu berkata, lima daerah di Sarawak masih tidak mempunyai hospital walaupun penduduk melebihi 30,000 orang serta terdapat pecahan yang signifikan bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan.

Justeru beliau bersetuju pembangunan perkhidmatan kesihatan dan isu berkaitan sekolah daif diberi perhatian segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

“Saya turut bersetuju agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan proses pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

“Projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Sarawak di luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya.

Related Articles

Back to top button