Negeri

Sarawak – Persekutuan guna pendekatan baharu percepat pelaksanaan projek

Sarawak bakal menjadi kerajaan negeri pertama membuat pembiayaan dahulu bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek persekutuan di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah baharu pelaksanaan projek itu dipersetujui dalam mesyuarat beliau bersama dengan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg serta kerajaan negeri yang berlangsung di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak hari ini.

Ia jelasnya akan dimulakan dengan pelaksanaan projek Pusat Kanser Sarawak tidak lama lagi.

“Saya setuju, kita bawa kaedah baharu di mana Sarawak boleh memulakan pembinaan sedikit, kita tampung kemudian… kita akan mulakan pembinaan pembangunan hospital kanser ataupun institut kanser ini sesegera mungkin.

“Kalau tengok kaedah biasa, ambil masa, kos tinggi. Orang Sarawak kata tak apa, kami bantu (dan) kami bagi beberapa rencana untuk memulakan projek,” katanya.

Anwar mengumumkan perkara itu melalui ucapan di Majlis Berbuka Puasa Madani Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan pada Sabtu.

Pada ucapan itu beliau turut berkata, Abang Johari melalui mesyuarat yang diadakan telah mengangkat isu-isu pendidikan dan kesihatan di Sarawak dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk membiayai terlebih dahulu projek-projek Persekutuan yang perlu disegerakan.

“Kadang-kadang sekolah nak dibina, klinik di kawasan pedalaman. Maka saya kata kita (kerajaan Persekutuan) setuju sekiranya dalam keadaan negeri (Sarawak) berupaya nak mulakan projek itu dengan kos lebih rendah dan lebih cepat,” katanya.

BACA LAGI: KPKM dukung azam Sarawak jadi pengeksport beras

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 150 asnaf dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Related Articles

Back to top button