Semasa

Video tular diambil di luar konteks, tiada kompromi kepada pemfitnah – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata video tular di media sosial berkaitan isu kafir telah diambil di luar konteks sebenar dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.

Fadhlina juga menyifatkan penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina berkata video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah.

“Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah ‘kafir’ di rumah.

“Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Fadhlina menegaskan beliau melarang anak-anaknya menyebut istilah kafir kerana ia mempunyai konotasi kebencian terhadap kaum bukan Islam yang sama-sama tinggal di negara ini.

Jelas beliau, isu sebutan kafir atau bukan Islam bukanlah tindakan beliau melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan di dalam kitab berkenaan.

“Ia adalah suatu isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian. Malah, Almarhum Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi dan juga Shaykh Prof Dr Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan ‘ghayru Muslim’ (bukan Islam) untuk digunakan termasuklah dalam penggunaan panggilan sosial.

“Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata peguamnya dalam proses mengumpulkan bukti menerusi media sosial yang pelbagai termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.

“Saya memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak, atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya.

“Namun saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.

Penyebaran video itu membuatkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga mengancam keselamatan dirinya sehingga memaksanya untuk membuat laporan polis.

Related Articles

Back to top button