Umum

8.4 juta rakyat bakal terima bayaran STR Fasa 2 sebelum Aidilfitri

Kementerian Kewangan akan membuat pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 mulai 3 April ini kepada semua penerima yang berdaftar menerusi pangkalan data bantuan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lalu.

“Reformasi ekonomi yang diterajui kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

“Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, pembayaran STR Fasa 2 akan diagihkan kepada penerima yang disalurkan menerusi pengkreditan ke dalam akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.

Bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, mereka menerima sebanyak RM500, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, penerima layak menerima RM100 hingga RM300.

Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing menerima sebanyak RM150 dan RM100.

Related Articles

Back to top button