Benjamin Netanyahu disahkan hidap hernia, jalani pembedahan
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu disahkan menghidap penyakit hernia dan memerlukan pembedahan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Netanyahu, 74, disahkan menghidap penyakit itu semasa pemeriksaan rutin pada Sabtu lalu dan dijadualkan menjalani pembedahan semalam (Ahad).
Ia turut memaklumkan, Netanyahu menjalani pembedahan dengan bius sepenuhnya selepas kurang setahun dia dipasang perentak jantung (pacemaker).
Pembedahan itu berlaku di tengah-tengah rundingan baharu antara Israel dan Hamas di Kaherah, Mesir.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman Israel, Yariv Levin akan memangku tugas semasa ketiadaan Netanyahu.
Dalam sidang akhbar sebelum menjalani pembedahan, Netanyahu berkata, beliau optimis dengan keputusan prosedur itu dan akan kembali bekerja “dengan cepat.”
“Saya memberi jaminan bahawa saya akan melalui rawatan ini dengan berjaya dan kembali bertugas dengan cepat,” kata Netanyahu.
Ini merupakan pembedahan kedua Netanyahu sejak kembali ke jawatan Perdana Menteri pada akhir 2022.
Hernia atau juga dikenali sebagai angin pasang berlaku apabila kandungan dalam satu ruang badan (kebiasaannya abdomen) membonjol keluar daripada kawasan yang biasa ia berada.
Kandungan itu biasanya sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) yang juga akan membentuk kantung hernia.