Harga barang keperluan masih rendah berbanding kerajaan terdahulu – PM Anwar
Kritikan bahawa kerajaan tidak faham dan prihatin terhadap permasalahan dihadapi rakyat terutama membabitkan kos sara hidup adalah tidak benar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, harga barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak diyakini masih rendah serta stabil jika dibandingkan dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Saya bagi contoh umpamanya, tahun 2021 sebelum pertukaran kerajaan, berapa harga ayam? Sampai RM13 sekilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah, minyak masak lima kg ketika itu mencecah RM45, jadi kawan pembangkang saya bising tetapi dia lupa dan dia ingat kita pun lupa.
“Masa dia jaga, harga minyak masak untuk lima kg RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam, dahulu heboh tidak ada telur, sekarang stabil dan kita sudah guna penyelarasan subsidi, bayangkan harga ayam turun ketimbang dua tahun lalu tanpa bantuan siling,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Pada masa yang sama, Anwar turut menyangkal kritikan segelintir pihak mendakwa kerajaan Madani pimpinannya tidak mengambil berat masalah dihadapi rakyat.
Beliau menegaskan, pelbagai langkah dan inisiatif telah dilakukan kerajaan termasuk menambah peruntukan bantuan kepada golongan sasar selain mengawal harga barangan keperluan asas.
“Kita ada kekangan kewangan tetapi saya tahu mengenai masalah dihadapi rakyat. Jadi soal kritikan, biasa dalam politik, saya faham tetapi untuk mengatakan kita tidak faham dan tidak prihatin, tidak betul.
“Jadi saya minta saudara-saudara (penjawat awam) tolong jelaskan, walaupun penjawat awam tidak semestinya campur arus politik, ini soal dasar kerajaan dan bagi fakta, kalau tidak seolah (kerajaan) tidak berbuat apa.
“Ada yang mengatakan sejak kerajaan Madani, tidak ada apa yang dilakukan dan sebahagian ‘walaun’ kata ya benar. Sebab itu saya sengaja nak ulang beberapa fakta kenyataan ini (mengenai inisiatif kerajaan),” katanya.