Negeri

Jawatankuasa Teknikal MA63 bakal mesyuarat, muktamadkan isu pendidikan dan kesihatan di Malaysia Timur

Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) bakal mengadakan mesyuarat bagi memuktamadkan isu pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mesyuarat itu yang dijangka diadakan dalam tempoh dua minggu diadakan susulan perbincangan peringkat pegawai yang telah selesai diadakan bagi mengenal pasti isu kuasa yang boleh diserahkan kepada kerajaan negeri dalam pengurusan hal ehwal pendidikan dan kesihatan.

“Seperti yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungannya, misalnya sekolah yang dibina oleh kerajaan Sarawak itu kualiti dan kosnya lebih murah yang sama standard seperti yang ditetapkan, maka akan dilaksanakan ikut persetujuan,” kata Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam itu dipetik.

Perdana Menteri baru-baru ini memaklumkan Sarawak dan Persekutuan akan menggunakan kaedah baharu dalam projek pembangunan dimana negeri itu akan membuat pembiayaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek persekutuan.

Sementara itu menurut Fadillah, antara kekangan kerajaan Persekutuan sekarang adalah dari segi peruntukan wang bagi melaksanakan projek pembinaan seperti sekolah dan hospital.

“Misal kata, kerajaan negeri memerlukan supaya Sarawak dapat menubuhkan Pusat Kanser sendiri, tetapi disebabkan peruntukan dan juga berapa dasar lain, maka telah dipersetujui akan diwujudkan jawatankuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Secara prinsip akan membenarkan kerajaan negeri untuk mendahulukan dana pembinaan pusat kanser tersebut dan kerajaan Persekutuan akan membiayainya kemudian hari secara perundingan dan kaedah bayarannya,” katanya.

BACA LAGI: Sarawak – Persekutuan guna pendekatan baharu percepat pelaksanaan projek

Perdana Menteri dilapor telah bersetuju supaya satu jawatankuasa khas antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditubuhkan bagi memperhalusi isu sektor pendidikan dan kesihatan di negeri itu tanpa birokrasi.

Difahamkan, jawatankuasa berkenaan berbeza dengan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri kerana ia menjurus kepada projek pendidikan dan kesihatan Persekutuan.

“Pegawai (kerajaan) negeri akan bekerjasama dengan pegawai Persekutuan bagi membincangkan perkara yang perlu diambil tindakan segera agar kurang birokrasi dan pastikan projek (berkaitan dua sektor) ini dilaksanakan dengan segera,” jelas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki seperti dilapor media.

Related Articles

Back to top button