JWP tubuh tiga pasukan petugas khas, pacu semula ekonomi Labuan – Dr Zaliha
Tiga pasukan petugas dibawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) ditubuhkan sebagai usaha merancakkan ekonomi Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan petugas berkenaan akan menumpukan kepada pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok, serta meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal.
“Diterajui Ketua Pengarah JWP dan Timbalannya serta melibatkan penyertaan pihak berkepentingan, pasukan petugas ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya.
“Kami komited untuk melaksanakan strategi tindakan dengan segera, manakala inisiatif utama seperti pembinaan jambatan Labuan-Menumbok akan dikemukakan untuk perhatian Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Labuan pada Ahad.
Terdahulu Dr Zaliha hadir mendengar taklimat pengendalian Labuan Liberty Port oleh pengendali pelabuhan itu, Megah Port Management Sdn Bhd.
BACA LAGI: Enam projek dibangunkan di pantai barat Sabah, Labuan tingkat kebajikan anggota
Sementara itu beliau turut melahirkan keyakinan masa depan di pulau bebas cukai itu akan bertambah baik susulan wilayah itu kini sering menerima lawatan Menteri Kabinet.
Pada sidang media itu, Dr Zaliha turut menyatakan komitmen bagi memacu sektor pelancongan Labuan termasuk penambahbaikan terhadap acara pelancongan terkenal iaitu Labuan International Sea Challenge (LISC).