Negeri

Kerajaan setuju projek pelebaran Lebuhraya PLUS diteruskan ke Ayer Hitam – Timbalan Menteri

Bagi kemudahan rakyat, Kerajaan Perpaduan telah bersetuju melanjutkan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang sebelum ini berakhir di Simpang Renggam, diteruskan sehingga ke Ayer Hitam.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pertambahan 17 kilometer lagi projek pelebaran Lebuhraya PLUS itu dibuat berikutan peruntukan RM931 juta yang diberikan kerajaan mencukupi untuk kerja-kerja pelebaran tersebut.

“Sebelum ini sudah diumumkan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam membabitkan peruntukan RM525 juta sejauh 21 kilometer (km) antara Senai Utara ke Sedenak.

“Namun dalam Belanjawan 2024 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak sehingga ke Simpang Renggam, dengan peruntukan RM931 juta.

“Hari ini saya ingin memaklumkan dengan peruntukan sama RM931 juta, projek pelebaran Lebuhraya PLUS antara Sedenak bukan berakhir di Simpang Renggam sahaja, tetapi ia akan diteruskan sehingga ke Ayer Hitam membabitkan pertambahan 17km lagi.

“Pertambahan 17km lagi dibuat selepas penilaian awal mendapati peruntukan RM931 juta mencukupi sehingga pelebaran di Ayer Hitam,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah pada Ahad.

BACA LAGI: Tol percuma dua hari sempena Aidilfitri

Sementara itu jelasnya, JKR ketika ini sedang melaksanakan Kajian Nilai (Value Assessment-VA) supaya projek pelebaran Lebuhraya PLUS terbabit tidak hanya berakhir di Simpang Renggam.

Laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka.

Ia bermakna hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong, menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu puncak musim perayaan dan cuti persekolahan selain sering dilaporkan berlaku kemalangan maut.

Projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam lorong membabitkan Senai Utara ke Sedenak, dilaporkan akan dimulakan Jun ini.

Related Articles

Back to top button