Nasional

KPKT berjaya pulih 10,560 perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar cecah RM8.23 bilion

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 10,560 perumahan swasta daripada 88 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM8.23 bilion sehingga 29 Februari lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada 88 projek perumahan itu sebanyak 81 projek telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala lima projek berstatus sakit kembali menjadi lancar dan dua projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan.

“Dua projek perumahan swasta terbengkalai yang berjaya diselesaikan itu ialah Taman Daya, Kepong, Selangor yang telah memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dan Perpaduan Heights Fasa 1 dan 2, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli oleh kerajaan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data setakat 29 Februari lepas, pihaknya telah mengenal pasti 230 projek mengalami kelewatan, 462 projek sakit dan 115 projek terbengkalai dengan nilai GDV sebanyak RM201.75 bilion.

“Nilai ini menunjukkan terdapat pengurangan kepada bilangan projek lewat, sakit dan terbengkalai berbanding statistik hingga 31 Januari 2024,” katanya.

Selain itu, Aiman Athirah berkata, pihaknya masih mengekalkan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) sebagai satu daripada agenda utama KPKT dengan fokus yang lebih bersasar dan strategik.

“Menambah baik kepada terma rujukan (TOR) TFST sedia ada iaitu Track (mengesan), Resolve (menyelesai), Preventive (mencegah) dan Forward Modelling (pemodelan ke hadapan).

“Gerak kerja TFST pada 2024 turut meliputi langkah mencari penyelesaian dan penambahbaikan dalam kecekapan tadbir urus melalui teknologi dan pindaan kepada perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, TFST juga akan berusaha dan bergiat aktif bagi memastikan unjuran projek perumahan swasta sakit akan berakhir pada Disember 2024 adalah kekal atau kurang daripada 505 projek perumahan sakit sepertimana yang disasarkan.

Sehubungan dengan itu, KPKT sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara bagi menjayakan agenda utama demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas.

Related Articles

Back to top button