Negeri

MB Pahang umum bantuan khas raya untuk penjawat awam negeri

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri RM1,000 kepada penjawat awam di negeri itu.

Melalui ucapan di Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya Ke Pahang di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam beliau berkata, bantuan khas itu dijangka akan dinikmati 8,000 individu.

“Saya akan beritahu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan perkara itu dan sudah pasti sebelum hari raya (bantuan diterima),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Pahang membelanjakan RM100 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang sejak ia diperkenalkan pada 2022 sehingga hujung tahun lalu.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan bantuan RM300 dalam bentuk barangan dan wang simpanan kepada bayi yang lahir di Pahang dan bantuan RM100 kepada setiap murid Tahun Satu di negeri berkenaan.

“Selain itu bantuan RM100 juga diberikan kepada setiap pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta bantuan RM300 kepada setiap pasangan yang berkahwin kali pertama.

“Bantuan kad kesihatan yang mempunyai nilai RM500 turut diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik-klinik swasta,” tambahnya.

BACA LAGI: RM1.628 juta diperuntuk MAIWP untuk bawa pulang 10,000 pelajar IPT sempena cuti Aidilfitri

Selain itu bagi kebajikan rakyat di negeri itu, kerajaan Pahang juga jelasnya juga bersetuju untuk menubuhkan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan RM5.

Tabung itu sebagai satu lagi inisiatif terbaharu kerajaan negeri dalam membantu rakyat dalam golongan B40 untuk mendapatkan bantuan kecemasan yang diperlukan, bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Related Articles

Back to top button