Semasa

PADU: Data asas didaftar automatik jika tidak lakukan kemaskini – DOSM

Rakyat Malaysia yang tidak mengemas kini data mereka di Hab Pangkalan Data Utama (Padu) akan didaftarkan secara automatik maklumat asas mereka, kata Jabatan Perangkaan.

Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan mendaftarkan secara automatik maklumat asas rakyat Malaysia yang tidak membuat kemas kini data mereka.

Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin melalui sidang media memberitahu rasional kerajaan meminta rakyat mengemas kini data mereka kerana maklumat lebih lengkap diperlukan walaupun pelbagai agensi kerajaan telah mengumpul data asas rakyat Malaysia.

“Dalam sistem Padu, kami mempunyai data untuk kira-kira 30 juta rakyat Malaysia.

“Namun, ini hanya data asas mereka, yang kami kumpul daripada pelbagai agensi. Apa yang kita perlukan ialah data ‘dinamik’,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Pada 2 Januari lalu, PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan yang dipacu data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

BACA LAGI: YDPA sokong langkah penjimatan oleh kerajaan, termasuk melalui subsidi bersasar

Tarikh akhir pendaftaran pusingan pertama Padu telah berakhir malam tadi.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem PADU yang akan berakhir hari ini.

Kerajaan jelasnya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.

Related Articles

Back to top button