Agong berkenan menerima menghadap Fahmi dan Dzulkefly di Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Istana Negara. Kuala Lumpur.
Sebelum menerima menghadap Fahmi, Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa menandatangani hampir 400 kad Hari Raya Aidilfitri pada awal pagi untuk diutus kepada rakyat jelata yang mengirimkan ucapan, menurut catatan di laman Facebook Seri Paduka Baginda.
Fahmi turut berpeluang melihat sendiri Seri Paduka Baginda menandatangani kad-kad ucapan berkenaan.
Pada sesi menghadap itu, Fahmi mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perkembangan media sosial di negara ini.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Sementara itu Dzulkefly mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda mengenai perkembangan terkini perkhidmatan kesihatan negara serta perancangan baharu kementerian dalam menambah baik fasiliti kesihatan kepada rakyat.