Semasa

BKK Aidilfitri bukti PM terbuka dengar pandangan, hargai penjawat awam – Ceupacs

Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin disifatkan manifestasi penghargaan kerajaan terhadap golongan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, bantuan yang diberikan itu juga membuktikan Perdana Menteri sentiasa terbuka mendengar pandangan daripada pihaknya.

“Alhamdulillah akhirnya YAB Perdana Menteri beri pertimbangan wajar bagi membantu penjawat awam. Cuepacs yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam.

“Cuepacs memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan dengan keadaan ekonomi ketika ini. Cuepacs berharap penjawat awam akan terus memberi komitmen penuh dalam menjalankan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Untuk rekod, pemberian BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah di samping RM250 kepada pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen akan dibayar Jumaat ini.

Pentadbiran Anwar pada Febuari lalu membuat pembayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam. Bayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

BACA LAGI: 8.4 juta rakyat bakal terima bayaran STR Fasa 2 sebelum Aidilfitri

Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai mengulas pengumuman BKK Aidilfitri itu berharap supaya inisiatif seperti itu dicontohi juga oleh pihak swasta memandangkan ia mampu meningkatkan moral pekerja dan memberi manfaat kepada komuniti secara keseluruhan.

“Memberi bantuan khas kepada pekerja pada waktu-waktu penting seperti Aidilfitri menunjukkan tanggungjawab sosial korporat dan menghargai sumbangan pekerja terhadap organisasi.

“Tindakan seperti ini juga dapat memperkuatkan hubungan antara majikan dan pekerja serta meningkatkan imej korporat. Apabila pihak swasta turut memberi bantuan khas semasa perayaan, ia mencerminkan komitmen mereka terhadap kesejahteraan pekerja dan masyarakat secara keseluruhan,” kata Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani dipetik media.

Related Articles

Back to top button