Semasa

PADU: pengumuman berkaitan subsidi bersasar akan dibuat kemudian – Rafizi

Sebarang pengumuman berkaitan subsidi bersasar akan diumumkan selepas Kementerian Ekonomi membentangkan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata begitu melalui satu kenyataan pada Isnin sebagai mengulas perkembangan terbaharu berkaitan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Melalui kenyataan itu beliau memberitahu, seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri sepanjang tempoh pendaftaran PADU yang tamat pada Ahad lalu.

Angka itu jelasnya menjadikan 17.65 juta (58.7 peratus) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemas kini di dalam sistem tersebut.

“Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengambil inisiatif untuk mendaftar PADU.

“Kepada warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemas kini profil di PADU, data pentadbiran yang sedia adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi,” tambahnya.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan Perlis merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 66.9 peratus, diikuti Kelantan (65.2 peratus), Terengganu (62.7 peratus), dan Perak (60.3 peratus).

Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula merekodkan pendaftaran melebihi 50 peratus.

Sementara itu Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan peratus pendaftaran di bawah 50 peratus.

BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar tak jejas pelaburan asing – Menteri MITI

Rafizi sementara itu memaklumkan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian sekiranya ada keperluan untuk melakukannya.

Related Articles

Back to top button