Nasional

Pendaftaran PADU sudah ditutup namun masih boleh hantar maklumat tidak lengkap – Ketua Perangkawan

Individu yang telah mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU) masih boleh menghantar maklumat yang belum dilengkapkan walaupun selepas tarikh tutup pendaftaran sistem tersebut pada 31 Mac yang lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun, tarikh tutup bagi pendaftaran sistem Padu kekal hingga kelmarin.

“Kepada mereka yang masih ada lagi maklumat yang mungkin tidak lepas dalam pengenalan diri (gagal pengesahan identiti), e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), pasukan PADU sedang membantu untuk memastikan mereka dapat menghantar atau melengkapkan maklumat yang diperlukan ke dalam sistem tersebut.

“Cuma yang kita telah tutup ialah bagi mereka yang tidak mendaftar langsung (dalam sistem PADU) dari tempoh 2 Jan hingga 31 Mac,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan topik “Padu: Apa Selepas Ini?” pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata dengan adanya sistem PADU berkenaan, data rakyat akan sentiasa tersedia yang membolehkan kerajaan membuat analisis tepat ke atas mereka yang layak mendapat manfaat.

“Data dalam sistem PADU ini membolehkan kerajaan meneliti perkara seperti bagaimana kita hendak analisis supaya corak bantuan itu tidak hanya mengambil satu penilaian, satu lapis sahaja,” katanya.

Justeru, beliau berkata semua pihak terutama rakyat perlu yakin bahawa data merupakan satu alat yang penting dalam menggerakkan negara ke hadapan dan kerjasama serta sokongan semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan hasrat tersebut.

Related Articles

Back to top button