Negeri

Perkhidmatan feri percuma tanpa had untuk OKU mulai 8 April – SPPP

Mulai 8 April ini, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menikmati perkhidmatan feri Pulau Pinang percuma tanpa had.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata inisiatif oleh SPPP dengan kerjasama Penang Port Sdn. Bhd (PPSB) itu sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan tersebut yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan berkernaan.

“Dengan mengambil kira sifat kebersamaan dan tidak mengenepikan golongan tertentu, bermula 8 April ini OKU akan menikmati tambang feri percuma bagi semua kategori iaitu pejalan kaki, basikal dan motosikal.

“SPPP dan PPSB telah memperhalusi mekanisme pelaksanaan tambang percuma ini iaitu individu OKU hanya perlu mendaftar di mana-mana kaunter terminal feri sama ada di PSAH atau PRTU.

“Individu OKU tersebut perlu membawa bersama kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika melakukan urusan pendaftaran,” katanya.

BACA LAGI: Pulau Pinang cipta rekod pelaburan tertinggi bernilai RM71.9 bilion

Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media di George Town, Pulau Pinang pada Isnin yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PPSB V. Sasedharan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemberian pas bermusim yang tamat pada 31 Dis lepas diteruskan pada tahun ini dengan kadar diskaun 30 peratus bagi semua kategori penumpang feri.

Keistimewaan tersebut hanya diberikan kepada rakyat Malaysia dan pendaftaran boleh dibuat bila-bila masa.

Related Articles

Back to top button