Negeri

PM Anwar lulus RM14 juta untuk ICQS Wang Kelian, yakin Perlis mampu jadi hub pelancongan

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Perlis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan yang mendesak untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.

“Mengambil kira keperluan yang mendesak, saya luluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek ICQS Wang Kelian,” katanya sebagai mengulas hasil dari lawatan ringkasnya ke Perlis.

Pada lawatan itu beliau yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Perlis.

Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mufti Perlis dan ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri yang terlibat.

BACA LAGI: Sektor pelancongan mampu jana aktiviti sektor ekonomi lain

Perbincangan selama satu jam menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis, pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang serta penyelenggaraan gerai dan kios di seluruh negeri itu.

“Saya juga singgung potensi negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan dan bagaimana negara kita berbelanja tinggi untuk menanggung kos subsidi harga barang asas, namun harga makanan di negara kita masih lebih mahal berbanding di destinasi pelancongan negara jiran.

“Saya percaya jika ada usaha untuk mengatasi masalah ini, lebih ramai pelancong akan datang ke destinasi pelancongan di Perlis,” tambah Anwar.

Related Articles

Back to top button