Anwar

Sambut sederhana dan langkah penjimatan, tiada rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pihaknya tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya Seri Perdana pada tahun ini.

Sebaliknya, Anwar berkata beliau akan mengikuti dan menghadiri majlis di negeri-negeri yang dianjurkan oleh menteri-menteri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan agensi kerajaan supaya lebih berhemat dan menganjurkan majlis raya yang sederhana.

“Untuk sambutan Aidilfitri, saya tidak buat majlis besar-besaran di (Kompleks) Seri Perdana.

“Sebaliknya, saya akan mengikuti dan menghadiri majlis di negeri-negeri yang dianjurkan oleh menteri-menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan agensi kerajaan supaya lebih berhemat dan menganjurkan majlis hari raya yang sederhana.

“Sila jangan berlumba-lumba untuk menganjurkan majlis yang lebih besar dan mewah. Itu bukan duit anda pun,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button