Nasional

Tiga kementerian jalin kerjasama laksana kerja selenggara jalan raya rosak

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.

Menurut KKR dalam satu kenyataan, penglibatan tiga kementerian ini adalah penting kerana mempunyai bidang kuasa yang berkait selain penyelesaian masalah jalan yang memerlukan sinergi padu untuk diatasi.

“Dalam sesi libat urus itu, mereka telah membincangkan mekanisme terbaik untuk menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing.

“Mekanisme ini seterusnya akan diteliti sebelum tindakan strategik dilaksanakan di bawah payung Program MYJalan,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, aplikasi MYJalan telah menerima 13,391 aduan pelbagai isu jalan raya dan statistik menunjukkan 26.51 peratus aduan milik JKR manakala selebihnya iaitu 73.49 peratus milik pihak lain.

Justeru itu, sesi libat urus ini amat penting dalam memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan dengan penglibatan serius pihak-pihak pemilik jalan yang lain demi memastikan keselesaaan dan keselamatan pemanduan rakyat.

“Hasil perbincangan terarah kepada cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada wakil pemilik jalan raya melaporkan status tindakan penyelesaian bagi aduan secara berkala.

“Jawatankuasa ini juga akan meneliti setiap cadangan, isu dan cabaran yang diterima sepanjang kolaborasi ini,” jelasnya.

Katanya, sinergi pelbagai pihak membuktikan KKR terus komited dalam memperkasakan dan merakyatkan Program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional.

Related Articles

Back to top button