Gangguan bekalan air sudah jadi ‘duri dalam daging’ buat seluruh rakyat Kelantan
Kurang seminggu lagi penggunaan air di Kelantan akan meningkat berlipat kali ganda susulan kepulangan anak-anak perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing pada 10 April nanti.
Situasi itu boleh memberikan kesan tidak baik kepada perkhidmatan dan kualiti bekalan air sepanjang tempoh berkenaan disebabkan permintaan melebihi kapasiti serta kemampuan yang boleh ditawarkan oleh pengendali perkhidmatan.
Mana tidaknya, dianggarkan lebih 100,000 anak-anak Kelantan yang mencari rezeki di negeri orang akan pulang dan perkara tersebut sudah menjadi rutin setiap kali musim perayaan.
Melihat kepada jumlah tersebut, ditambah pula dengan penduduk yang sedia ada dan situasi itu pastinya memberi tekanan kepada kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
Menambahkan lagi tekanan, cuaca panas dan kemarau yang sedang melanda kesan fenomena El Nino menyebabkan paras air sungai Kelantan semakin menyusut.
Gangguan bekalan air bukanlah perkara baharu malah sudah menjadi ‘duri dalam daging’ buat seluruh rakyat Kelantan apabila isu ini sudah berlarutan lebih 20 tahun lalu.
Masalah air di Kelantan seolah-olah sudah tidak boleh dibawa bincang apabila ada segelintir anak-anak perantau mengeluarkan ‘ugutan’ tidak mahu pulang beraya di kampung jika isu ini terus berlarutan.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pengerusi Persatuan Warisan Anak Krai, Hamidi Hamzah yang memberitahu, mereka sudah hilang sabar selepas menerima ‘ugutan’ daripada anak-anak di perantauan yang enggan pulang beraya di Kampung Kemubu, Kuala Krai jika masalah air di kawasan terbabit gagal diselesaikan.
Selain itu, penduduk Kampung Kemubu, Kuala Krai, Aziz Ibrahim turut mendedahkan pada cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini anak-anak dan cucu-cucunya terpaksa ‘lari’ ke lokasi lain kerana masalah air.
Kepulangan yang sepatutnya menjadi kegembiraan bertukar kepada khabar duka dan kedatangan Syawal tidak lama lagi pasti membuatkan Aziz pening memikirkan ikhtiar supaya masalah air dapat diselesaikan sebelum menyambut kepulangan anak-anak serta cucu.
Kerajaan negeri menerusi Exco Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin menegaskan masalah air yang membelenggu negeri ini lebih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya tiga tahun lagi iaitu pada 2027.
Hal ini kerana semua loji yang dinaik taraf dan dibina akan siap sepenuhnya pada tahun tersebut.
Situasi itu menyaksikan Kelantan akan mempunyai lebihan bekalan air pada tahun 2028 sekali gus mampu menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan lebih 20 tahun lalu.
Di sebalik keyakinan itu, Umno Kelantan pula menasihatkan kerajaan negeri supaya tidak menipu rakyat dengan menabur janji isu air akan selesai dalam masa tiga tahun lagi.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, janji itu tidak ubah seperti ‘gula-gula’ kerana 2027 merupakan tahun berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Melihat kepada keyakinan yang dilontarkan oleh pemimpin kerajaan negeri mengatakan masalah air selesai 2027, penulis berharap cakap serupa bikin.
Hal ini kerana rakyat dilihat sudah muak dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri setiap kali berlakunya gangguan bekalan air.
Rakyat Kelantan mahu jalan penyelesaian yang tuntas berkait isu ini dan bukannya alasan bersifat menutup kelemahan.
Ingatlah, air merupakan satu keperluan asas utama kepada penduduk, walaupun kerajaan negeri beranggapan rakyat Kelantan pandai berdikari dengan menggali telaga bagi mendapatkan sumber, namun mereka tidak boleh lepas tangan dalam isu tersebut.
Penulis sendiri mengeluarkan duit poket menggali telaga tiub dan membeli penapis bagi memastikan bekalan air terus mencukupi tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya kepada perkhidmatan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB). – Sinar Harian