Anwar

Hubungan dagangan, pelaburan antara Malaysia-Republik Kyrgyz diperkukuh – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan antara Malaysia dan Republik Kyrgyz untuk menerokai lebih banyak peluang terutamanya dalam memperkukuh hubungan dagangan dan pelaburan dua hala bagi kedua-dua negara.

Anwar berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz, Zheenbek Kulubaev di Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa lawatan itu akan membuka ruang kerjasama yang baik bagi kedua-dua negara berkenaan dan menyatakan kesediaan beliau untuk melawat negara itu pada bulan Mei depan.

“Saya yakin bahawa lawatan ini akan membuka ruang bagi kolaborasi dan mencetus kerjasama yang lebih substantif antara kedua-dua negara.

“Sekalung penghargaan juga dizahirkan atas jemputan dari Presiden Republik Kyrgyz untuk melawat negara itu Mei nanti, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut mengharapkan agar hubungan antara Malaysia dan Republik Kyrgyz akan lebih akrab pada masa hadapan.

Pada 2023, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagangan global ke-191 Malaysia dengan jumlah perdagangan berjumlah RM162.31 juta (USD36.35 juta) dan lebihan dagangan sebanyak RM159.88 juta (USD35.82 juta) berpihak kepada Malaysia.

Related Articles

Back to top button