KESUMA sasar 50,000 pekhidmat rumah ibadat Islam jadi pencarum SKSPS
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan lebih ramai golongan bekerja sendiri untuk mendaftar dan mencarum secara aktif dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohammad berkata, menjelang akhir tahun ini, pihaknya mensasarkan lebih 50,000 pekhidmat rumah ibadah Islam dilindungi dibawah skim tersebut.
Setakat 2023, seramai 38,828 pencarum merangkumi bilal, imam, merbut, noja, siak, ustaz, ustazah dan guru takmir sudah mendaftar di bawah skim berkenaan dengan melibatkan RM9,039,158.40 bayaran caruman yang ditanggung kerajaan.
“Setakat 29 Mac 2024 direkodkan sudah ada 19,306 pencarum yang mendaftar melibatkan RM4,494,436.80 jumlah bayaran caruman.
“Dengan bantuan pengamal media membuat hebahan secara besar-besaran, Insya-ALLAH kita boleh dapat lebih ramai (pencarum),” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Kesuma PERKESO 2024 yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.
Pada majlis itu seramai 40 ibu tunggal, penjaga dan 92 anak-anak termasuk anak yatim menerima sumbangan hamper dan duit raya bersempena sambutan aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu tambah Abdul Rahman, PERKESO bukan sekadar menyediakan jaringan keselamatan sosial yang berfungsi sebagai penampan daripada isu kewangan akibat bencana domestik, tetapi agensi ditubuhkan sejak Oktober 1971 itu kini menyediakan rawatan pemulihan.
Jelas beliau, perkhidmatan itu diberikan demi memastikan aspek produktiviti pekerja kekal terjamin, sekali gus berupaya melindungi kelangsungan sosioekonomi masyarakat.
BACA LAGI: Mengapa Pas tak beri guru Pasti pencen, caruman KWSP?
“Pemberian faedah kepada pencarum juga merupakan salah satu testimoni paling efektif dalam memberi pemahaman kepada rakyat berkenaan kepentingan caruman perlindungan keselamatan sosial komprehensif yang disediakan oleh Kesuma menerusi PERKESO,” jelasnya.
Abdul Rahman turut memberitahu, pihaknya tidak hanya menumpukan pada pekhidmat rumah ibadat Islam, sebaliknya kementerian menyasarkan pelbagai golongan termasuk petani, pekebun dan sebagainya untuk mendaftar dibawah skim tersebut.