KPDN kuatkuasa SHMMP Aidilfitri bermula 5 hingga 19 April
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Aidilfitri 2024 akan berkuat kuasa 5 hingga 19 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tempoh pelaksanaan SHMMP selama 15 hari itu membabitkan 22 jenis barangan yang akan berada di bawah skim berkenaan.
“22 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan skim ini dan ia adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.
Armizan memaklumkan perkara itu pada sidang media di sebuah pasar raya di Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa.
Sementara itu beliau menjelaskan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan harga barangan terkawal serta bekalan mencukupi.
BACA LAGI:KPDN jalin kerjasama rentas kementerian, pastikan bekalan barangan asas mencukupi
Manakala pegawai penguat kuasa KPDN akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik seperti di pasar malam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan di seluruh negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011). Ia termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal,” katanya.
Susulan pelaksanaan skim tersebut, orang ramai jelasnya boleh melakukan semakan harga melalui laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my.