Global

Malaysia kecam serangan Israel terhadap bangunan konsulat Iran di Syria

Malaysia menyatakan kecaman keras terhadap tindakan rejim Israel yang menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan pada Selasa berkata, Malaysia menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan itu dan menggesa semua pihak mengelakkan sebarang provokasi yang boleh meningkatkan ketegangan.

“Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati premis diplomatik sebagai kawasan mutlak bagi sesebuah negara.

“Tindakan sengaja menyasarkan premis diplomatik ini adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik.

“Insiden ini telah memberikan petanda bahawa perlunya dialog bagi meredakan konflik di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Duta Iran ke Syria, Hossein Akbari, yang berada di pejabatnya di kedutaan itu semasa serangan pada Isnin, mengesahkan bahawa pesawat perang F-35 Israel dari Dataran Tinggi Golan yang didudukinya, melancarkan enam peluru berpandu di bangunan itu

Agensi berita Iran IRNA, memetik Kor Pengawal Revolusi Islam melaporkan serangan itu telah mengakibatkan kematian tujuh penasihat tentera.

BACA LAGI: Malaysia tambah sumbangan RM10 juta untuk rakyat Palestin melalui UNRWA

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataannya turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi itu.

Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang tercedera.

Related Articles

Back to top button