Semasa

MCMC telah diarah ambil tindakan terhadap video kontroversi Aliff Syukri – Fahmi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah diminta mengambil tindakan bersesuaian berhubung sedutan klip video dimuat naik oleh usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman di media sosial.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, langkah itu susulan pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang kurang senang dengan video tersebut.

“Saya telah menonton sebahagian video yang telah dimuat naik dan saya telah minta MCMC untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di Kuala Lumpur malam tadi.

Aliff Syukri sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila memuat naik sedutan lagu Aidilfitri terbaharu yang bertajuk ‘Love Raya’ di laman Instagram peribadinya.

Rata-rata pengguna media sosial melahirkan rasa tidak senang dengan sedutan video yang mengandungi adegan kurang sopan itu.

Usahawan kosmetik itu bagaimanapun telah memadam video berkenaan dan memohon maaf selepas menerima kecaman daripada pengguna media sosial.

Sementara itu, Fahmi mengingatkan agar pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial menjalankan tanggungjawab mereka dengan memastikan kandungan dihasilkan sesuai dengan semua lapisan umur terutama kanak-kanak.

BACA LAGI: Kementerian Komunikasi mahu adakan jelajah kesedaran keselamatan media sosial

Beliau berkata kerajaan bimbang dengan kandungan yang boleh mendatangkan kesan negatif terutama kepada kanak-kanak di bawah 13 tahun.

“Kita perlu memikirkan kandungan yang kita hasilkan dengan lebih mendalam sama ada sesuai memandangkan pada waktu ini, kita tidak tahu (sama ada) yang menonton kandungan itu berumur 90 tahun, 19 tahun atau sembilan tahun,” katanya.

Related Articles

Back to top button