Perdana Menteri bakal lancar Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan
Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan akan dilancarkan sewaktu sambutan Hari Pekerja 2024 pada 1 Mei ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kerangka tersebut bakal dilancar sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) perkenal Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang julung kali akan melihat kepada kelompangan dan kesenjangan yang wujud dalam dokumen dasar masa kini.
“Kerangka itu bakal menjadi garis panduan dasar kepada KESUMA dan kerajaan secara amnya untuk melaksanakan program-program pembangunan modal insan Malaysia.
“Sebagai contohnya tentang agenda masyarakat menua, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan penglibatan wanita sektor pekerjaan, kita lihat semua ini untuk rangka satu garis panduan dan strategi untuk memandu dasar dan program KESUMA,” katanya.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra-pelancaran Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Putrajaya pada Selasa.
BACA LAGI: Penubuhan Suruhanjaya bukti kerajaan cakna nasib pekerja gig
Mengulas mengenai sambutan tersebut beliau berkata, pada tahun ini KESUMA akan memperkenalkan dua kategori Anugerah Hari Pekerja yang baharu iaitu Anugerah Media bagi Individu dan Anugerah Tokoh Pekerja Sektor Awam.
“Hadiah tunai untuk anugerah Hari Pekerja akan diselaraskan, jadi tidak kira kategori pasukan mahupun individu, semua akan dapat RM10,000 tidak macam sebelum ini, hadiah untuk kategori individu berjumlah RM5,000).
“Jumlah hadiah tunai untuk Anugerah Hari Pekerja juga dinaikkan daripada RM75,000 tahun lalu kepada RM120,000 tahun ini,” kata dipetik.