PM Anwar agih 3,000 kotak Rahmah kepada golongan kurang bernasib baik menjelang Syawal di Tambun
Sebanyak 3,000 kotak Rahmah akan diagih kepada golongan memerlukan dalam kawasan Parlimen Tambun.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata bantuan yang disampaikan itu tanda keprihatinan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap golongan kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi menjelang Syawal.
Menurutnya, bantuan itu akan disampaikan melalui ketua kampung kawasan masing-masing.
“Saya fikir ini juga merupakan satu amanat dan juga penegasan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita terus turun ke lapangan dan menyantuni serta melihat sendiri keadaan.
“Jika kita hanya ikut perkembangan melalui media sosial semata-mata, itu tidak mencukupi.
“Kita harus turun ke kawasan, melihat dan bersama dengan masyarakat setempat supaya kita dapat menyelami permasalahan mereka dan seterusnya menyelesaikan masalah yang timbul di kawasan itu,” katanya.
Tambahnya, masyarakat di kawasan itu diseru untuk terus menyalurkan sebarang permasalahan kepada Pusat Khidmat Parlimen supaya ia dapat diselesaikan dengan sewajarnya.
Muhammad Kamil berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Anak-Anak Yatim dan golongan asnaf di Pusat Jagaan Yayasan Amanah An Nur Maisarah, Chemor, malam tadi.
Turut hadir ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri dan turut diserikan dengan penyerahan Kotak Rahmah kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam Parlimen Tambun.
“Pemberian sumbangan kepada golongan ini merupakan tanggungjawab dalam memastikan mereka dapat meraikan sambutan perayaan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
“Selain itu, ia juga membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan diketuai Anwar Ibrahim sentiasa cakna dan prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat khususnya di Parlimen Tambun sentiasa dipenuhi dengan pelbagai manfaat,” katanya.