hiburan

PM Anwar ucap takziah pemergian tokoh penghibur tanah air, Jaafar Onn

Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh penghibur tanah air yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham adalah tokoh dalam dunia hiburan yang mempunyai bakat tersendiri dalam bidang lakonan dan muzik.

“Kepada kita yang mengikuti dunia hiburan, pasti terkesan dengan berita ini tatkala Allahyarham sentiasa menghiburkan masyarakat dengan bakatnya yang unik dan tersendiri dalam bidang lakonan dan muzik.

“Mendoakan rohnya diberi keampunan oleh Yang Maha Esa dan urusan keluarganya dipermudah, Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Selebriti veteran Jaafar Onn menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang) pada pagi Rabu.

Pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 73 tahun itu disahkan oleh rakan selebritinya Haiza Hanafi yang difahamkan diberitahu oleh anak angkat Allahyarham iaitu Hanif.

Sebelum ini Allahyarham telah dikejarkan ke hospital sama dan dimasukkan ke zon kritikal di wad kecemasan selepas mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Beliau yang mesra dipanggil papa itu dikatakan mengalami bacaan tekanan darah dan haemoglobin rendah ketika melakukan pemeriksaan di sebuah klinik.

Untuk rekod, Allahyarham memulakan kerjaya dalam sebagai anak seni sekitar 1970-an sebelum menceburi bidang lakonan pada awal 1990-an.

Antara naskhah yang melonjakkan nama beliau ialah drama Cili Padi, Chef Jo, filem XX Ray, Suami, Isteri dan ….?, Bintang Hati, Rock, Sifu & Tongga, dan 18 Puasa di Kampong Pisang.

Related Articles

Back to top button