Nasional

302 lokasi jadi pilihan Program Jualan Rahmah Aidilfitri

Program Jualan Rahmah (PJR) Aidilfitri diadakan di 302 lokasi berjadual di seluruh negara bermula Khamis sehingga 9 April ini, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi kenyataan hari ini, Armizan berkata PJR Aidilfitri akan membabitkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

Selain penjualan barang-barang keperluan kering, PJR Aidilfitri akan membabitkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain khusus bagi persiapan menyambut Aidilfitri seperti ayam, daging lembu, beras, rempah-ratus dan sebagainya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas Agenda Payung Rahmah Madani melalui pelaksanaan PJR Aidilfitri bersempena dengan sambutan lebaran kali ini,” katanya.

Lokasi pelaksanaan PJR Aidilfitri adalah di Johor sebanyak 18 lokasi, Kedah (21), Kelantan (14), Kuala Lumpur (4), Melaka (13), Pahang (15) dan Perak (25).

Ia turut dilaksana di Perlis (3), Pulau Pinang (42), Sabah (29), Sarawak (45), Selangor (36), Terengganu (22), Negeri Sembilan (13), serta Putrajaya dan Labuan dengan masing-masing dengan satu lokasi.

Beliau berkata maklumat lanjut pelaksanaan PJR Aidilfitri boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

Related Articles

Back to top button