Semasa

IKTBN jalin kerjasama dengan KBS, tawar kursus penyelenggaraan kenderaan EV

Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua menawarkan kursus Penyelenggaraan Kenderaan Elektrik (EV) dan Hibrid bermula Februari tahun ini.

Kursus itu yang akan dilaksana dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan meningkatkan lagi daya saing golongan belia dalam sektor EV.

Menterinya Hannah Yeoh berkata pengambilan pertama bagi kursus itu melibatkan 30 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berumur 18 hingga 30 tahun.

“Pada 2025, kita jangkakan sebanyak 200 orang pelajar sepenuh masa akan dilatih di IKTBN Dusun Tua, IKTBN Chembong dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dalam kursus EV.

“Manakala, 500 orang belia termasuk pekerja akan dilatih dalam kursus reskilling EV melalui program ‘Skills For Life’ yang dilaksana di ketiga-tiga Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) tersebut,” katanya pada satu sidang media pada Khamis.

Hannah sebelumnya menyempurnakan majlis perasmian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ILKBS Sebagai Pelaksana Rintis Kursus EV dan Hibrid di instistut kemahiran itu.

Beliau turut menyaksikan majlis Menandatangani Dokumen Persefahaman (MoU) antara IKTBN Dusun Tua dengan Sunway Berhad dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

MoU itu akan memastikan kerjasama kukuh antara IKTBN dan pemain industri dapat dilaksanakan bagi menambah baik kurikulum, berkongsi kepakaran dan teknologi sekali gus, membuka peluang pekerjaan serta latihan industri kepada lepasan kursus EV dan hibrid.

BACA LAGI: MOF dalam peringkat akhir perincian kadar cukai jalan kenderaan EV

Mengulas lanjut, Hananh berkata, kementeriannya komited untuk menambah baik dan menawarkan kursus-kursus berkualiti seiring perubahan teknologi terkini bagi memastikan golongan belia lebih berdaya saing, relevan dan menepati keperluan industri.

Setakat ini, terdapat tiga ILKBS yang menawarkan kursus berkaitan EV dan hibrid iaitu di IKTBN Dusun Tua (penyelenggaraan), IKTBN Chembong (pengenalan dan keselamatan) dan IKBN Jitra (penyelenggaraan motosikal EV).

Related Articles

Back to top button