Negeri

Kerajaan Persekutuan tingkat pemberian untuk negeri – PM Anwar

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada Khamis bersetuju meningkatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan berkata, keputusan itu bertujuan untuk menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri bagi tahun 2024 sekaligus memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua kerajaan negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia

Berbanding peruntukan RM8.1 bilion bagi tahun 2022 dan RM8.3 bilion untuk tahun lalu, peruntukan bagi tahun ini meningkat kepada RM8.9 bilion.

“Antara peningkatan pemberian sebagaimana yang diumum dalam Belanjawan 2024 termasuklah peningkatan pemberian penyenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion, berbanding RM5.2 bilion pada tahun 2023.

“Selain itu, pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta serta kenaikan pemberian pindahan fiskal ekologi (EFT) kepada RM200 juta, berbanding RM150 juta pada tahun 2023.

“Bagi penambahan pemberian khas tahunan kepada Sarawak dan Sabah pula sebanyak RM300 juta, berbanding RM16 juta untuk Sarawak serta RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023 manakala peningkatan pemberian kepada perpustakaan dan muzium negeri sebanyak 10 peratus pada tahun 2024,” katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan Anwar yang juga Menteri Kewangan dan turut dihadiri menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

BACA LAGI: Kelantan terima peruntukan tertinggi, dakwaan negeri pembangkang dipinggirkan meleset

Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Persekutuan terus komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

“Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

“Peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia ini akan diberikan secara serentak. Besarlah harapan saya agar ia dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” jelasnya.

Melalui kenyataan sama, beliau turut memaklumkan pentadbirannya turut menyediakan RM39.4 bilion bagi tahun ini untuk tujuan projek-projek pembangunan negeri, berbanding RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.

Kelulusan juga diberi bagi permohonan kerajaan negeri berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

“Dalam hal ini, Majlis Kewangan Negara meluluskan supaya pembelian jambatan sementara Bailey menggunakan peruntukan pemberian penyenggaraan jalan negeri secara sekali beri bagi tahun 2024.

“Kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri pula sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah,” katanya.

Related Articles

Back to top button