Nasional

Op Selamat 22 sempena Aidilfitri mula 8 hingga April – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penguatkuasaan Op Selamat ke-22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April ini di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Katanya, pengguna yang merancang pulang ke kampung ataupun bercuti dinasihatkan menanamkan sifat berkenaan ketika memandu kenderaan demi insan tersayang serta menjamin keselamatan mereka di jalan raya.

“Kebersamaan masyarakat dan PDRM amat ditagih dalam memastikan kempen Op Selamat 22 sempena perayaan Aidilfitri yang bermula 8 hingga 13 April ini mencapai sasarannya.

“Bersempena dengan sambutan hari lebaran yang bakal menjelang tiba, PDRM dengan penuh rasa bertanggungjawab dan memikul amanat dalam memastikan masyarakat dapat menikmati sambutan perayaan Aidilfitri dengan rasa selamat dan sejahtera.

“PDRM akan mengadakan kempen Op Selamat siri ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’,” katanya semasa pelancaran Op Selamat 22 Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara maya menerusi laman rasmi Facebook PDRM pada Jumaat.

Related Articles

Back to top button