Semasa

FAMA anjur Jualan Semarak Syawal Agro Madani, tawar harga berpatutan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menganjurkan Jualan Semarak Syawal Agro Madani seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Abdul Rashid Bahri berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Penganjuran program bukan sahaja memberi peluang pasaran tambahan kepada usahawan untuk meningkatkan pendapatan sempena musim sambutan Aidilfitri, malah membolehkan pengguna membeli barangan keperluan pada harga berpatutan, sekali gus memperlihatkan ketersediaan bekalan agromakanan, adalah mencukupi.

“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya, yang turut dijual,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: 302 lokasi jadi pilihan Program Jualan Rahmah Aidilfitri

Abdul Rashid Bahri berkata jualan itu yang bermula Rabu lepas, diadakan di 753 cawangan pemasaran FAMA seperti Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Sehubungan itu jelasnya, FAMA akan memastikan bekalan barangan di setiap lokasi penganjuran itu akan mencukupi.

“Pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan barangan keperluan tersebut,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, sehingga 31 Mac, program Jualan Agro Madani telah dilaksanakan di 1,737 lokasi di seluruh negara, melibatkan kira-kira 21,806 usahawan tempatan serta membawa nilai penjimatan kira-kira RM10.5 juta kepada pelanggan.

Related Articles

Back to top button