Nasional

Jualan Semarak Syawal Agro Madani tawar potongan harga hingga 30 peratus di 753 lokasi

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka jualan Semarak Syawal Agro Madani di 753 lokasi di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi mencukupi dan para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan.

“Potongan harga antara 10 hingga 30 peratus. Ayam RM15 sekilo dijual RM10, telur dan sebagainya rendah. Beras tempatan 10 kilogram pada harga RM26.

“Program ini berterusan mengikut suasana dan keadaan. Sebab arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang memainkan peranan terus (pastika bekalan makanan), ketika ada perayaan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Semarak Syawal Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang Selangor, hari ini.

Mohamad juga menjelaskan kementeriannya hanya membekal barangan keperluan, manakala pengawalan harga tertakluk kepanya hanya kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Program tersebut bagi memberi peluang kepada para pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan Aidilfitri pada harga rendah.

Ia juga bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi dari kalangan pengunjung.

Program tersebut juga menawarkan jualan ‘happy hour’ Kombo Agro Madani Cashless yang menawarkan dua kombo iaitu Kombo Segar dan Kombo Sayur Raya pada harga RM5 per kombo iaitu penjimatan sebanyak 70 peratus daripada harga sebenar RM15.

Turut diadakan jualan produk usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), jualan produk Agromas dan promosi jualan di portal Agrobazaar Online.

Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih untuk keperluan hari raya yang turut di jual di outlet pemasaran ini.

FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM30.5 juta sepanjang program jualan tersebut pada tahun ini.

Related Articles

Back to top button