Semasa

Kerajaan bakal tubuh tiga Baitul Mahabbah dengan peruntukkan RM10 juta – Menteri KDN

Kerajaan bakal mewujudkan tiga lagi Baitul Mahabbah atau penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga penempatan khas dibawah selian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal diwujudkan masing-masing satu di Kelantan, Johor dan Kedah membabitkan peruntukan RM10 juta.

“Ia salah satu inisiatif untuk menambah Baitul Mahabbah sedia ada yang terletak di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dengan kapasiti 300 penghuni.

“Tiada pembinaan baharu sebaliknya mengguna pakai premis yang sudah sedia ada dan kemudian diubahsuai. Kita sudah mengenalpasti premis untuk proses pengubahsuaian,” katanya dalam sidang media.

Saifuddin sebelumnya hadir ke Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Warga JIM di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau turut meninjau aspek keselesaan bagi memastikan aspek penjagaan tahanan di Depoh tersebut.

BACA LAGI: HRW masih belum bersedia untuk bertemu menteri

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, seramai 300 kanak-kanak warga asing berusia bawah 10 tahun ditempatkan di tiga Baitul Mahabbah di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Miri, Sarawak.

Kanak-kanak itu terdiri daripada mereka yang lahir di depoh tahanan imigresen atau ditinggalkan ibu bapa masing-masing semasa operasi JIM.

“Atas perikemanusiaan, kita jaga kanak-kanak ini dan diasingkan di Baitul Mahabbah dan mereka ini berpeluang mengikuti kelas dikendalikan JIM selain keadaan suasana yang kondusif,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button