Semasa

Kerajaan ikhtiar jadikan Malaysia lebih makmur – PM Anwar

Kerajaan Madani akan mengetengahkan lebih banyak ikhtiar dalam usaha menjadikan Malaysia lebih makmur dan adil untuk semua, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu catatan di laman Facebooknya berkata, Ekonomi Madani yang dirangka oleh kerajaan bukan sahaja menekankan keperluan memartabatkan sepelusuk rakyat malah beriltizam untuk meningkatkan keberkesanan kewangan dan ekonomi Islam dalam memelihara rakyat.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan mengetengahkan lebih banyak lagi ikhtiar untuk menjadikan Malaysia lebih makmur dan adil untuk semua,” katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis meterai perjanjian strategik antara Amanah Raya Berhad dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB).

Perjanjian itu bagi membantu pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerima produk perancangan pewarisan.

“Alhamdulillah dengan adanya perjanjian ini, pemilik Rumah Mesra Rakyat akan secara automatik ditawarkan produk terpilih AmanahRaya sebagai perancangan pewarisan seperti hibah dan wasiat ke atas harta tersebut.

“Ini adalah sebagai nilai tambah kepada produk SPNB terutama Program RMR dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa hadapan,” katanya.

BACA LAGI: KPKT pulih 10,560 perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar cecah RM8.23 bilion

Difahamkan, melalui program itu, kerajaan melalui SPNB menawarkan Program RMR khususnya kepada golongan isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina kediaman sendiri yang sempurna dan selesa.

Melalui inisiatif itu juga, perihal wasiat akan dapat dipermudah tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah dengan kos guaman tinggi sekali gus perlindungan untuk waris turut terjamin.

Related Articles

Back to top button