Semasa

Masyarakat Muslim tidak wajar jadi zalim atas nama agama – Azman Abidin

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menggesa masyarakat Muslim tidak berlaku zalim atas nama agama.

Mengulas isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart baru-baru ini, beliau berkata semua pihak telah mendapat isyarat bahawa isu stoking mengundang kemarahan umat Islam.

Justeru tegasnya, tidak sewajarnya ada mana-mana pihak terus mengapi-apikan isu tersebut kerana pemilik KK Mart telah pun dituduh dan didakwa di mahkamah.

“Biarlah proses mahkamah tentukan. Selain itu, pengasas rantaian kedai serbaneka itu sudah beberapa kali telah memohon maaf kepada umat Islam.

“Tapi, saya percaya masih ada pihak cuba mengapi-apikan isu ini. Niatnya sudah jelas untuk menghuru-harakan keadaan dan perbalahan antara kaum dan agama. Ini masa untuk melangkah ke hadapan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini menitahkan supaya semua pihak berhenti mengambil kesempatan ke atas isu tersebut.

Titah baginda, adalah lebih baik untuk masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian itu dan berusaha untuk mengeratkan lagi perpaduan.

BACA LAGI: Hentikan kontroversi stoking kalimah ALLAH, titah Agong

Sementara itu Azman mengakui, sebagai orang Melayu beliau sememangnya marah dan kecewa dengan isu stoking ini namun apabila memikirkan tindakan telah diambil terhadap pemilik KK Mart dan ahli perniagaan terbabit secara terbuka memohon maaf, ia wajar diredakan.

“Kita perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam. Dan saya percaya semua pihak setuju bahawa kesalahan itu adalah kesalahan tidak sengaja.

“Dia sudah dituduh di mahkamah. Jadi, kenapa masih ada pihak berkeras nak boikot? Siapa yang terkesan dengan pemboikotan ini? Anak kita (warga Malaysia) yang bekerja di KK Mart,” katanya.

Related Articles

Back to top button