Semasa

Penceramah didakwa fitnah Fadhlina dalam masjid, Pejabat MB buat laporan polis

Satu laporan polis dibuat terhadap seorang penceramah yang mendakwa menggunakan pentas ceramah di sebuah masjid bagi memfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sinar Harian melalui laporannya yang dipetik berkata, laporan itu dibuat Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Seremban di Balai Polis Daerah di Seremban 2 di sini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah mewakili Pejabat Menteri Besar dan Mohamad Afif Anuar mewakili AMK cabang Seremban.

Ahmad Shahir berkata, kandungan video berdurasi 1.01 minit berkaitan ceramah Rosmin ketika kuliah Subuh di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat pada 1 April lalu berunsurkan fitnah.

Rosmin yang pernah menjadi calon PAS untuk kerusi DUN Chembong didakwa mengulangi fitnah terhadap Fadhlina yang berkait isu perkataan kafir selain mengaitkan isu larangan takbir di sekolah, kantin sekolah dibuka pada Ramadan dan larangan membaca Qunut Nazilah di sekolah.

“Dalam ceramah itu lebih kepada menghasut, menanam kebencian dan fitnah walaupun penjelasan sudah diberikan.

“Walaupun dia tidak merujuk kepada mana-mana individu, namun semua maklum siapa individu yang dia rujuk.

“Fadhlina juga sudah memberikan respon yang jelas berkenaan isu terbabit,” katanya.

BACA LAGI: Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di semua institusi pendidikan KPM martabat syiar Islam

Mengulas lanjut Ahmad Shahir berkata, institusi masjid tidak boleh dibiarkan menjadi platform untuk menyebarkan fitnah kerana ia hanya mendatangkan masalah kepada masyarakat.

“Jika dia mengajar perkara yang betul, ia tidak menjadi masalah tetapi hasil rakaman video tersebut jelas dia menggunakan platform itu untuk menghasut dan menanam kebencian kepada satu pihak,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button