Umum

PTPTN umum agihan dividen SSPN 2023 sebanyak 3.60%, beri manfaat 6.25 juta akaun

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2023 sebanyak 3.60 peratus membabitkan peruntukan berjumlah RM357.65 juta.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengumumkan perkara itu berkata, agihan tersebut akan memberi manfaat kepada 6.25 juta akaun.

Ujarnya, jumlah itu menjadikan agihan dividen secara keseluruhannya bernilai RM1.69 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.

“Pemberian dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.05 peratus pada tahun 2022.

“Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum diberikan kepada para pelanggan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Menurut Zambry lagi, prestasi yang memberangsangkan itu jelas menunjukkan keyakinan dan sokongan pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan.

“Saya berharap dengan pemberian dividen kompetitif ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat kepada Simpan SSPN sekali gus menyuburkan lagi amalan penabungan di negara ini.

“Paling penting, misi penabungan ini akan membantu dalam mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang apabila tamat pengajian kelak,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button