Semasa

SHMMP: KPDN tugaskan 3,200 pegawai di lapangan

Penguatkuasaan dan pemantauan harga sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri akan ditingkatkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, seramai 2,200 pegawai penguatkuasa dan kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk memastikan peniaga mematuhi harga sepanjang skim itu dilaksanakan.

“Tujuan utama pemantauan dilakukan adalah bagi memastikan semua pihak terutama peniaga dapat mematuhi harga barangan yang diwartakan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini. Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sebanyak 22 jenis barangan yang diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Aidilfitri antaranya daging lembu tempatan, daging kerbau import, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau dan halia tua,” katanya.

Fuziah sebelumnya mengadakan lawatan sempena pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di Kuantan.

Tempoh pelaksanaan yang bermula semalam adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari ketika perayaan dan sembilan selepas perayaan.

BACA LAGI: KPDN kuatkuasa SHMMP Aidilfitri bermula 5 hingga 19 April

SHMPP dilaksanakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (dahulu Akta Kawalan Harga 1946).

Skim ini dilaksanakan di seluruh Malaysia dan harga yang ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah.

Sementara itu Fuziah melalui hantaran di laman Facebooknya menggesa pembeli melaporkan sebarang salahlaku dan penyelewengan berkaitan harga barang kepada saluran aduan yang betul.

Related Articles

Back to top button