SSPA: Kerajaan usaha naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir 2024
Kerajaan akan berusaha mencari jalan untuk menaikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, pengumuman berhubung perkara itu selewat-lewatnya akan dilakukan pada pembentangan Belanjawan 2025.
“Kita akan umumkan (kenaikan gaji) dalam beberapa bulan akan datang selewat-lewatnya dalam (pembentangan) belanjawan negara tahun ini.
“Jadi masa (pembentangan) belanjawan tu dengar daripada mula sampai habis sebab saya tak bagi tau bila saya nak umum,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Islam UiTM Kampus Permatang Pauh pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Media sebelum ini melaporkan Anwar berkata, hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.
Beliau berkata, setelah perkara itu tertunda lama, kini sudah tiba masanya proses tersebut dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam seluruh negara.
Perkara itu jelasnya diteliti kerana beliau mendengar keluhan daripada orang ramai khususnya penjawat awam.
“Ada keluhan tentang (tempoh) kajian SSPA ini kerana sudah 12 tahun dan kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan ditingkatkan.
“Baru-baru ini, kita bagi RM2,000 kepada penjawat awam dan sepatutnya ia cukuplah sehingga raya tetapi saya dengar (keluhan) dan atas itu kita beri lagi tambahan (RM500),” katanya.