Aminuddin sarankan orang ramai elak sementara makan kupang dan kerangan
Orang ramai di negeri ini dinasihatkan mengelak daripada memakan kupang atau kerang terutama dari perairan Port Dickson untuk sementara waktu.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun membuat saranan itu susulan analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.
“Dulu kita biasa dengar tentang keracunan membabitkan kupang dan kerang, sudah lama tak terjadi dan kali ini berlaku lagi di Port Dickson.
“DOF (Jabatan Perikanan) telah maklumkan puncanya…kita juga tahu di kawasan tersebut banyak penternak kupang dan kita harap masyarakat elakkan makan hingga isu ini selesai.
“Untuk tindakan selanjutnya, kerajaan negeri akan tengok macam mana sebab kita pun belum dapat maklumat sepenuhnya daripada DOF negeri termasuk jumlah penternak terlibat dan sebagainya,” katanya.
Aminuddin berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan sebuah pasar raya di Seremban pada Sabtu.
Pada 4 April lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Wan Aznan Abdullah dilaporkan berkata hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.
BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar akan pastikan 85 peratus rakyat dapat faedah
Beliau berkata sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.
Difahamkan, DOF masih menjalankan pemerhatian dan analisis terhadap air dan kupang di kawasan terlibat.