Semasa

DOSM terbit Buletin , kongsi langkah awal pembangunan PADU

Kementerian Ekonomi melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan sebuah buletin bertujuan menjelaskan dan memberi penerangan mengenai Pangkalan Data Utama (PADU).

Pautan penerbitan itu yang dikongsikan di laman Facebook rasmi PADU menjelaskan pelaksanaan PADU bermula dengan Pembangunan Fasa 1 PADU pada Jun 2023 sehingga diluncurkan pada Januari 2024.

Penerbitan buletin 20 halaman itu berkongsikan tadbir urus pembangunan PADU yang disokong Pasukan Kerja (Task Force) khusus ditubuhkan membabitkan tiga pasukan kerja utama iaitu Pasukan Kerja Pemurnian Hala Tuju; Pasukan Kerja Pengurusan Data; Pasukan Kerja Pembangunan Sistem dengan kerjasama daripada Kementerian Ekonomi,

Ia turut berkongsikan fasa awal pembangunan sistem pangkalan data itu dan garis masa pelaksanaanya.

“Dalam fasa awalan pembangunan PADU ini akan memfokuskan kepada pengukuhan dalam perkongsian dan pengintegrasian data antara inter-agensi menerusi platform MyGDX, yang mana MAMPU menyediakan 40 lesen API bagi keperluan pengintegrasian data antara agensi.

“Antara agensi yang tersedia dengan aplikasi API adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan lain-lain,” kata buletin tersebut.

Selain itu, penerbitan tersebut turut berkongsikan secara telus semua usaha dijalankan kementerian dan agensi dalam pembangunan sistem tersebut yang meliputi Sesi Libat Urus awalan bersama agensi kerajaan dan Bengkel Gerak Kerja Pelaksanaan PADU.

PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

BACA LAGI: Data asas didaftar automatik jika tidak lakukan kemaskini 

Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dilaporkan berkata penyasaran semula subsidi nanti akan menggunakan maklumat yang ada dalam sistem PADU.

Related Articles

Back to top button