Nasional

Kesihatan merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial – Dr Dzulkefly

Sempena Hari Kesihatan Sedunia adalah menjadi peluang terbaik untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendidik dan memberi penekanan soal penjagaan kesihatan dan kesejahteraan insan dalam mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Mengetengahkan tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini ialah ‘Kesihatan Saya, Hak Saya’, ia memberi peluang buat individu, tanpa mengira latar belakang berhak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesihatan bukan sekadar ketiadaan penyakit, ia turut merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.

“Hak kesihatan tidak boleh dianggap sebagai keistimewaan yang eksklusif, ia adalah suatu hak asasi manusia yang memerlukan pengiktirafan dan penuaian oleh semua.

“Selain itu, hak kesihatan merangkumi empat unsur penting saling berkait iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penerimaan dan mutu.

“Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam penjagaan kesihatan secara sejagat, masih banyak yang perlu diikhtiarkan untuk membolehkan rakyat menikmatinya secara saksama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, Malaysia berjaya menangani kesenjangan capaian penjagaan kesihatan melalui pembangunan infrastruktur terutamanya kawasan terpencil.

Tambah Dr Dzulkefly, KKM bersama Dr Rabindra Abeyasinghe iaitu Wakil WHO untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Kerajaan Madani komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh.

“Bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh termasuk penggubal dasar, pembekal penjagaan kesihatan, pertubuhan masyarakat sivil dan sektor swasta.

“Menginsafi peranan liputan kesihatan sejagat (UHC) demi menjamin capaian yang saksama, Malaysia telah berusaha memperluaskan cakupan UHC dan meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya lagi.

Beliau berkata, negara turut mengagihkan peruntukan dalam bidang teleperubatan dan klinik kesihatan bergerak untuk menyampaikan khidmat kepada penduduk yang sukar mendapatkan perkhidmatan itu.

Related Articles

Back to top button